LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion bagi lima projek infrastruktur di Langkawi merangkumi projek tadahan air, menaik taraf Hospital Langkawi, pembinaan balai bomba, kuarters dan jalan raya.

Ketika mengumumkan peruntukan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 ( RMK-11), Najib berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek menaik taraf Hospital Langkawi (HL) untuk membina bangunan tambahan dengan kos RM500 juta.

Katanya, HL buat masa ini hanya dapat menampung 110 katil pesakit dan dengan pembinaan bangunan tambahan itu, hospital berkenaan akan mempunyai kapasiti keseluruhan 220 katil.

“Kerajaan juga meluluskan pembinaan kuarters dan integrasi untuk kakitangan Jabatan Kesihatan di Langkawi dengan kos RM1.35 juta.

“Projek ketiga pula, kerajaan meluluskan pembinaan balai bomba dan kuarters Padang Matsirat, Langkawi dengan kos RM30 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran G0 4.0 Langkawi 2018 hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menaik taraf jalan persekutuan Bulatan Lapangan Terbang-PULAPOL dengan kos RM50 juta.

Bagi menangani keperluan air bersih sehingga tahun 2040 untuk Langkawi Najib berkata, Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan peruntukan RM600 juta untuk membina kemudahan tadahan air di Padang Mat Sirat – berita harian