SLIM RIVER: Projek bekalan elektrik luar bandar Kampung Orang Asli Sungai Terap di sini telah menelan belanja RM1.5 juta hasil peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihak TNB Energy Services Sdn Bhd telah diberi tanggungjawab sebagai pelaksana projek projek.

Menurutnya, sebanyak 25 buah rumah dan satu unit Tabika KEMAS telah menerima kemudahan itu.

Katanya, tarikh pelaksanaan projek sebenarnya bermula April 2018 manakala tarikh mula tugas pencawang pada 31 Julai 2019 dan tarikh pemasangan meter pada 22 Ogos 2020.

“Sehubungan itu, tidak wujud istilah gula-gula pilihan raya bagi penyelesaian projek ini kerana usaha untuk membangunkan kemudahan elektrik di kampung ini telah bermula sejak April 2018,” katanya kepada pemberita ketika melawat kampung tersebut hari ini.

Sejak beberapa hari lalu terdapat pelbagai dakwaan kononnya usaha memberi bekalan elektrik di Kampung Orang Asli Sungai Teras sebagai gula-gula pilihan raya.

Zolkafly berkata, kampung tersebut yang berusia kira-kira 60 tahun mempunyai lebih 200 penduduk tidak menerima kemudahan elektrik kerana kedudukannya yang jauh dari jajaran talian elektrik.

“Namun begitu, pada tahun 2016 jalan raya baharu yang menghubungkan kawasan Kuala Slim ke Besout telah dibina, menjadikan kedudukan Kampung Orang Asli Sungai Teras kini berada bersebelahan jalan raya utama yang membolehkan segala infrastruktur dapat dibangun dan disalurkan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat, termasuk dari kumpulan Orang Asli agar mereka tidak tersisih dari arus pembangunan serta kemajuan negara.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Teras, Kuloh a/l Bah Rinteh mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sehingga bekalan elektrik disalurkan di kampungnya.

“Perasaan gembira saya tidak boleh dibayangkan kerana rumah anak-anak buah saya sudah terang selepas bertahun-tahun menunggu.

“Tambahan pula kami dapat bekalan elektrik menjelang hari kemerdekaan, terima kasih kepada semua,” katanya.