IPOH: Sebanyak RM2.7 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi membantu 815 lagi usahawan mikro di Perak yang terkesan dengan pandemik COVID-19 melalui Geran Usahawan Perak (GeRUP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu adalah tambahan dana awal bernilai RM1 juta yang diluluskan kerajaan negeri Julai lalu.

Menurutnya, seramai 1,115 daripada 4,563 usahawan yang memohon, layak untuk mendapat bantuan secara ‘one off’ itu.

“Cuma masalah kita ialah kita hanya ada RM1 juta sahaja dan kita hendak beri RM3,000 seorang, sudah tentu kita tidak mampu membiayai keseluruhan 1,115.

“Jadi untuk fasa satu ini, pada 22 Oktober yang lalu, kita telah meluluskan kepada seramai 300 orang usahawan.

“Bagi baki 815, kita telah putuskan untuk memohon ehsan kerajaan negeri untuk meluluskan kepada kita tambahan dana sebanyak RM2.7 juta,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Saarani, 300 usahawan fasa pertama akan menerima bantuan itu mulai awal November depan.

Katanya, jika tambahan dana RM2.7 juta itu diluluskan, keputusan bayaran kepada 815 lagi usahawan dijangka diketahui menjelang 31 Disember hadapan.

Pada Julai lalu, Saarani mengumumkan kerajaan negeri Perak memperkenalkan GeRUP untuk usahawan mikro yang tidak mendapat Geran Khas Prihatin (GKP) yang diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Geran tersebut disalurkan melalui SME Corp dan dibantu oleh 24 agensi yang berkaitan.