KAJANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM2.9 bilion sebagai bantuan persekolahan, meliputi pelbagai bentuk untuk manfaat kepada hampir 5.2 juta murid di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata kerajaan melalui kementerian itu sentiasa konsisten dalam memastikan kebajikan murid menjadi keutamaan dan saban tahun peruntukan itu akan meningkat.

Katanya, di Selangor saja, KPM menyalurkan lebih daripada RM221.4 juta kepada lebih empat juta murid, yang terbahagi kepada bantuan umum, khusus dan secara ‘one off’.

“Ketahuilah bahawa asas pendidikan di negara ini adalah pendidikan percuma dan kerajaan tetap meneruskannya sebagai inisiatif mendahulukan rakyat, melainkan sumbangan tertentu mengikut keperluan sekolah.

“Justeru seorang murid mendapat manfaat sekurang-kurangnya RM8,900 setahun, selaras Akta Pendidikan 550 yang menyatakan pendidikan adalah percuma di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 bertemakan ‘Menerajui Perubahan-Rakan Sejati Rakyat’, dekat sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Shashim Shah Harun.

Pada program itu, kira-kira 6,000 orang hadir dan berpeluang melihat transformasi pendidikan negara melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Disamping itu, orang ramai juga boleh menyaksikan keberhasilan murid daripada setiap sekolah yang menyertai program ini selain bertanyakan sebarang kemusykilan berkaitan pendidikan.

Program ini akan meneruskan siri jelajah ke lima lokasi lain iaitu Langkawi, Kedah, Pasir Puteh, Kelantan, Parit Buntar, Perak, Temerloh, Pahang dan Tawau, Sabah.

Dalam perkembangan lain, Amin berkata, pemansuhan Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi kayu pengukur kepada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah tidak akan menjejaskan, malah lebih bersifat holistik.

Katanya, empat penekanan akan diberikan untuk memastikan murid sekolah diberikan perhatian kerana KPM menekankan pencapaian standard minimum untuk setiap pelajar.

“Tapi itu tidak bermakna kita tidak mementingkan kualiti. Kita ada cara lain untuk memastikan kualiti murid sentiasa dipantau. Jadi kita tunggu pengumuman lain selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti,” katanya – berita harian