MANJUNG: Sebanyak RM20,000 diagihkan untuk Dana Perubatan Dan Kotak Rezeki Ummat yang dianjurkan oleh MyFundAction Cawangan Perak semalam.

Majlis penyampaian disempurnakan Orang Besar Jajahan Daerah Manjung, Lt. Kol. (B) Datuk Shaharudin Nazari di Dewan Terbuka Pusat Latihan Tahfiz Integrasi An Nur.

Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) dengan kerjasama MyFundAction Cawangan Perak menyerahkan dana sebanyak RM 13,000 untuk kos perubatan Puan Fatimah yang menghidap masalah injap jantung bocor untuk menampung kos pembedahan yang di jadualkan tahun ini.

“MyFundAction dan MyHeart banyak membantu kakak dan tak mampu kakak untuk membalas jasa semua pihak,” kata Fatimah di majlis itu.

Shaharudin yang turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib Fatimah mengajak semua pihak untuk mendoakan supaya pembedahan akan berjalan dengan lancar.

Turut di raikan pada majlis itu ialah Siti Maryam Syamsul, 7, seorang kanak-kanak istimewa yang menghidap masalah tulang rapuh sejak lahir, yang turut kehilangan ayah sejak berusia 5 tahun.

Kanak-kanak kurang bernasib baik ini dihadiah sebuah kerusi roda yang sesuai untuknya ke sekolah, bagi menggantikan kerusi roda untuk orang dewasa digunakannya sebelum ini.

“Saya rasa seronok sangat dapat kerusi roda, lepas ini boleh bergerak sendiri, tak payah emak tolak lagi,” katanya.

Ibunya, Puan Syakiroh berharap, dengan kerusi roda baru itu akan memberi semangat baru buat Maryam untuk meneruskan hidup dan berjaya dalam mengejar cita-citanya.

“Saya harap dengan adanya kerusi roda ini, Maryam lagi bersemangat untuk belajar dan saya sangat berharap dia dapat capai cita-citanya”, luah Puan Syakiroh, ibu
Selain itu, sebanyak 20 keluarga asnaf sekitar Manjung, Setiawan dan Air Tawar turut menerima kotak Rezeki Ummat yang mengandungi barang asas keperluan dapur seperti beras, tepung, bihun, minyak, gula, garam, biskut, sardin, kicap, sos, teh dan coklat malt.

Majlis yang turut dihadiri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim diserikan lagi dengan penglibatan peserta Pusat Latihan Tahfiz Integrasi An Nur yang mengadakan sesi tadabbur Al-Quran dan aktiviti “Tebuk Challenge”.

“Tebuk Challenge” merupakan aktiviti yang menguji tahap hafalan pelajar tahfiz secara spontan.

Mereka yang berminat untuk bersama-sama menjayakan Program Rezeki Ummat, oleh berkongsi rezeki melalui nombor akaun MAYBANK Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), 550510970159.