PUTRAJAYA: Sebanyak 50 peratus daripada RM500 juta dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) akan diperuntukkan kepada usahawan wanita selaras dengan Tahun Memperkasakan Wanita 2018.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata menerusi langkah itu, sebanyak RM250 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan akan digunakan bagi membantu usahawan wanita memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 2018 adalah Tahun Memperkasakan Wanita. Selain menetapkan sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan, satu lagi perkara penting ialah menggalakkan golongan terbabit mempunyai sumber kewangan sendiri.

“Sebagai contoh, ada banyak kes isteri ditinggalkan suami yang menjadi pencari nafkah tunggal dalam keluarga atau ibu tunggal yang bertungkus-lumus membina kehidupan lebih baik.

“Jadi, pemerkasaan ini akan memberi mereka keupayaan untuk membina hidup sendiri, selain mempunyai sumber kewangan sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Negeri Selangor dan pelancaran aplikasi telefon pintar, TEKUN Pay di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Norazita Abdul Rahman.

Ketika pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM500 juta bagi TEKUN Nasional yang akan membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, usahawan wanita juga dilihat lebih konsisten dalam membuat pembayaran balik menerusi skim pembiayaan TEKUN Nasional berbanding usahawan lelaki.

Mengenai aplikasi TEKUN Pay, Ahmad Shabery berkata, kaedah itu akan membolehkan usahawan skim TEKUN Nasional membuat pembayaran balik pinjaman mereka hanya di hujung jari.

Katanya, aplikasi berkenaan juga bertujuan meningkatkan integriti dan memastikan transaksi dilakukan dengan telus.

“Peminjam tidak perlu hadir ke pejabat TEKUN Nasional dan bank untuk menyelesaikan pembayaran kerana boleh menggunakan aplikasi ini untuk memeriksa baki, jadual pembayaran dan membuat pembayaran.

“Aplikasi ini bukan saja menjadikan transaksi lebih mudah, malah memastikan ketelusan dan integriti memandangkan setiap transaksi dicatatkan dalam sistem,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, TEKUN Nasional merancang membangunkan sebuah sistem bagi membolehkan bakal usahawan kecil membuat permohonan skim pembiayaan.

“Kita mahu mencontohi negara lain iaitu permohonan skim melalui sistem dan bukan di pejabat TEKUN Nasional, sebagai contoh China yang mempunyai sistem membolehkan mereka menyemak rekod jika bakal usahawan terbabit layak atau sebaliknya.

“Kaedah ini mengambil masa hanya 15 hingga 30 minit untuk meluluskan permohonan dan kita berharap dapat membina sistem ini,” katanya-berita harian