SLIM: Kerajaan negeri Perak meluluskan peruntukan RM250,000 untuk menaik taraf pusat perniagaan Ladies Lane dan beberapa kemudahan lain di Pekan Slim.

Ia antara lain bertujuan menarik lebih ramai pelancong yang mengunjungi produk-produk pelancongan berhampiran untuk datang berbelanja di pekan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, projek naik taraf beberapa kemudahan itu akan melengkapkan lagi pengalaman pelancong ke daerah Muallim.

“Sebenarnya kawasan Slim ni berhampiran dengan pelbagai produk adventure tourism yang berada di dalam DUN Behrang tetapi di daerah yang sama.

“Jadi saya kira ianya tidak menjadi satu masalah lah kerana limpahan ekonomi itu sebenarnya dikongsikan secara bersama.

“Itulah sebabnya kita mahukan kalau boleh di Pekan Slim ini, dengan adanya Ladies Lane yang dianjurkan pada hujung minggu dan juga attraction seperti wall mural dan sebagainya boleh membawa pelancong-pelancong yang sedia ada yang berdekatan dengan produk-produk pelancongan untuk hadir bersama membelanja di Pekan Slim sendiri,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja di sekitar pekan Slim pada Selasa.

Pusat perniagaan Ladies Lane melibatkan 30 usahawan wanita di samping 20 usahawan trak makanan atau foodtruck.

Pusat perniagaan itu yang dibuka setiap hari Ahad mula telah beroperasi sejak 2017.