KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah jenayah Najib Razak diberitahu hari ini bahawa kira-kira RM3.9 juta dana milik SRC International Sdn Bhd digunakan untuk membayar hutang kad kredit bekas perdana menteri itu pada 2014.

Naib presiden Ambank yang bertanggungjawab ke atas kelulusan kad kredit dan pengurusan penipuan Yeoh Eng Leong berkata, Najib membelanjakan RM449,586.95 sen menggunakan kad kredit Visa Platinum.

Beliau berkata, Najib menggunakan Master Platinum Car dan membelanjakan RM2,833,147.21.

Saksi ke-47 itu juga berkata, perbelanjaan itu dilakukan pada 8 Ogos 2014 di De Grisogono di Itali.

Yeoh berkata, pada awal Januari 2015, Najib membelanjakan sebanyak RM593,347.57 di Honolulu dan Bangkok.

Katanya, kad kredit Visa digunakan untuk membuat pembayaran berjumlah RM466,330.11 bagi perbelanjaan yang dibuat di Chanel, sebuah gedung fesyen eksklusif di Honolulu.

Beliau berkata, Najib membelanjakan RM127,017.46 pada 4 Jan 2015 di Hotel Shangrila di ibu negara Thai itu.

Berikutan pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Budiman Lutfi Mohamed, Yeoh berkata, kesemua bayaran dibuat daripada akaun semasa Najib di Ambank yang berakhir dengan nombor 880.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa wang yang diterima daripada SRC International yang disalurkan melalui beberapa syarikat pengantara akhirnya masuk ke akaun Najib sebelum ia digunakan untuk membayar hutang kad kredit.

Najib menghadapi 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Amanah Wang Pencen.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

 

-FMT