SLIM RIVER: Kerajaan negeri Perak menyalurkan sumbangan RM333,600 kepada 33 pusat jagaan dan pusat perlindungan anak-anak yatim berdaftar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, setiap pusat menerima bantuan perkapita RM400.

Menurutnya, sumbangan itu antara lain
untuk membantu meringankan beban dan membiayai keperluan harian anak-anak yatim.

“Ini adalah sebagai inisiatif dan keprihatinan Kerajaan Negeri Perak membantu pihak-pihak yang terkesan secara langsung semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demilian ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan itu di Pusat Jagaan Rumah Anak Yatim Baitul Al-Hilmi di Kampung Tambak, dekat sini, hari ini.

Menurut Dr Wan Norashikin, bantuan yang diberikan itu akan memberi manafaat kepada seramai 834 orang anak yatim di rumah-rumah kebajikan.

Sempena majlis itu, beliau turut membuat tinjauan sejauhmana pihak pengurusan pusat jagaan memandang serius dan mengambil tindakan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak COVID-19 yang telah ditetapkan.

Ia bagi memastikan mereka menjaga keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.