IPOH: Kerajaan negeri Perak meluluskan peruntukan awal sebanyak RM400,000 bagi menangani masalah tanah tuntuh di Taman Silibin Indah di sini yang menjejaskan lapan buah rumah sejak 13 Mei lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan itu disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja awal baik pulih struktur tanah dilakukan dengan segera.

“Dalam mesyuarat Exco hari ini, saya telahpun memberikan kelulusan sepenuhnya dengan peruntukan agak besar untuk kerja-kerja menguatkan tanah di kawasan runtuhan ini.

“Kita berpandangan akan ada lagi kerja-kerja lain yang belum dapat kita nilaikan sekarang, tetapi peringkat awal ini RM400,000 diluluskan kerana kita nak pastikan tidak akan ada lagi pergerakan tanah berlaku,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di sini petang semalam.

Ahmad Faizal berkata, dalam tempoh kerja baik pulih ini dilakukan, penduduk terjejas dinasihatkan untuk berpindah sehingga kawasan di situ benar-benar disahkan selamat.

Katanya, kerajaan negeri juga bersedia menimbang bantuan-bantuan lain yang diperlukan bagi meringankan beban.

“Jika kerja-kerja ini memerlukan jangka masa agak panjang, tentunya kita akan cari jalan bantu, tetapi sekiranya tidak, maka kita lihatlah bentuk bantuan lain yang boleh diberikan.

“Bagaimanapun, hasil perbincangan dengan wakil penduduk, ramai merasakan mereka masih boleh tinggal di sini,” ujarnya.