IPOH : Kerajaan negeri Perak akan menyalurkan bantuan one-off sebanyak RM500 untuk 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri yang terkesan ekoran pendamik COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan itu yang berjumlah kira-kira RM2 juta akan disalurkan melalui PBT dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak, selama dua bulan (Mac dan April) yang dianggarkan lebih RM770,000.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan makan tengahari dan malam selama dua minggu untuk 1,500 kakitangan barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19 di negeri Perak.

“Sumbangan ini yang melibatkan kos RM420,000 adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan depan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan dalam menangani wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, kata beliau, peruntukan khas sebanyak RM160,000 disediakan untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurutnya, semua peruntukan adalah sumbangan kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri di Perak.

Semalam, Ahmad Faizal mengumumkan kerajaan negeri Perak akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan beban golongan sasar yang terkesan ekoran COVID-19.
Antara inisiatif itu ialah bantuan one-off kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan penangguhan Bayaran Sewa Bulanan Program Perumahan Rakyat Negeri Perak selama tiga bulan.
Kerajaan negeri juga akan menanggung bayaran selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei 2020 bagi bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, Rumah Harapan, Pinjaman Pendidikan Negeri Perak, bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam dan bayaran sewa skim pertapakan kemudahan asas.