SERI MANJUNG: Had kelayakan pendapatan bulanan keluarga untuk dermasisiwa pendidikan negeri Perak ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM5,000, mulai tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peningkatan had baharu itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira kos sara hidup semasa.

Menurut beliau, jumlah dermasiswa untuk peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda biasa tetap sama untuk kedua-dua had pendapatan iaitu RM300, RM500 dan RM800.

Bagaimanapun, katanya, dermasiswa untuk ijazah sarjana muda dalam bidang profesional bagi pendapatan kurang RM3,000 ialah RM1,200 manakala bagi pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 pula RM1,000.

“Kita lakukan ini bagi membolehkan anak-anak Perak melanjutkan pelajaran ke universiti di samping mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN kepada 44 daripada 133 bakal pelajar IPTA Parlimen Lumut di Dewan IPD Manjung di sini pada Ahad.

zambry-ptptn 2

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim, Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanip, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Haniff Osman, Pengurus Besar PTPTN Perak, Adi Nurali Mohamed.

Dr Zambry memberitahu, Perak telah lama melaksanakan pemberian dermasiswa pendidikan secara ‘one off’ iaitu sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, Perak membelanjakan kira-kira RM53 juta setahun untuk peruntukan pendidikan, termasuk RM11 juta dalam bentuk dermasiswa dan RM6 juta biasiswa.

“Kita telah buat lama walaupun Azmin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali) di dalam ceramahnya menggambarkan seolah-olah hanya Selangor sahaja yang buat,” tambahnya.

Terdahulu, Dr Zambry melakukan walkabout sempena program gotong royong yang diadakan di kawasan IPD Manjung.