SUNGAI SIPUT: Prihatin dengan kebajikan veteran anggota tentera yang banyak berjasa menjaga keamanan negara, kerajaan negeri Perak meluluskan sumbangan RM50,000.

Sumbangan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multi Media dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Lintang di Dewan Orang Ramai Kampung Temin, Sungai Siput pada Sabtu.

Pada majlis itu, Hasnul turut mengumumkan sumbangan RM5,000 untuk PVATM Cawangan Lintang.

“Kerajaan tidak pernah lupa kebajikan veteran tentera yang telah banyak berjasa menjaga keamanan negeri dan negara.

“Sumbangan ini tidaklah banyak jika dibandingkan dengan jasa yang mereka berikan tetapi ia sebagai tanda ingatan kita semua,” katanya selepas majlis itu.

Hasnul berkata, sumbangan RM50,000 melalui dana NGO Perak itu untuk meringankan perbelanjaan kebajikan PVATM Perak.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada veteran tentera yang kurang bernasib baik.