KUALA LUMPUR: Sebanyak RM566.6 juta diperuntukkan bagi Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) setakat 31 Julai, dengan RM364.5 juta telah dimanfaatkan oleh 7.66 juta individu manakala RM202.1 juta oleh 1.44 juta pengguna elektrik dalam sektor perniagaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

BPE adalah pakej bantuan tambahan yang diberikan kerajaan bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300 kilowatt sejam (kWj) pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di samping itu, bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601-900 kWj sebulan akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus iaitu tambahan lapan peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak dua peratus mulai April hingga Disember 2020.”

Tengku Zafrul berkata demikian dalam kenyataan mengenai laporan terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan di sini hari ini. Ia merupakan laporan ke-16 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Menurut kenyataan itu, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Dis ini dan permohonan rayuan BSH 2020 sudah dibuka mulai 7 Ogos hingga 6 Sept.

Di bawah PENJANA, setakat 31 Julai, sebanyak 204,325 pas perjalanan tanpa had, My30, telah dijual, meningkat daripada 179,349 pas dan subsidi kerajaan bagi pas berkenaan setakat ini bernilai RM34.7 juta, pertambahan daripada RM30.5 juta.

Sementara itu, bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 9,884 pekerja (peningkatan daripada 7,543) telah mendapat pekerjaan, sejak pendaftaran dibuka pada 15 Jun.

Jumlah ini merangkumi 7,100 pekerja di bawah umur 40 tahun, 1,500 berumur 40-60 tahun, 84 orang kurang upaya (OKU) dan 1,200 perantis.

Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas pula, iaitu bantuan sekali sebanyak RM300, sudah dibayar kepada 185,713 penerima kumpulan OKU melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM55.7 juta.

Seramai 1,815 penerima bagi Perkhidmatan Bantuan Rumah, melibatkan jumlah bayaran sebanyak iRM544,500 manakala kumpulan ibu tunggal pula seramai 1,350 penerima bantuan itu dengan jumlah bayaran RM405,000.

Sebanyak 1,785 buah taska telah disemak dan diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.3 juta untuk insentif bagi menggalakkan pusat asuhan kanan-kanak mengamalkan kebiasaan baharu dan pengiktirafan premis.

Di bawah inisiatif berkenaan, geran sekali bayar sehingga RM5,000 disalurkan kepada setiap pengendali taska dan tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam kenyataan itu, Tengku Zafrul berkata bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dan penganggur, kerajaan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi akan melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran bagi golongan belia dan penganggur.

Program yang bakal dilancarkan itu dianggarkan dapat memanfaatkan hampir 200,000 belia dan penganggur, dengan beberapa inisiatif sudah bermula dan di bawah kelolaan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) termasuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta Gerak Insan Cemerlang (GIC).

— BERNAMA