MANJUNG: Setelah lapan tahun mentelaah dalam keadaan sempit dan serba kekurangan, suara hati penduduk di Taman Manjung Baru akhirnya didengari oleh pihak kerajaan negeri.

Dalam masa yang singkat, sebanyak RM800,000 telah berjaya dikumpulkan hasil kerjasama pihak kerajaan negeri dan bantuan zakat Majlis Agama Islam Negeri Perak untuk membina sebuah sekolah agama rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia merupakan inisiatif dan amal jariah bagi membina Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nurussalam di kawasan Fasa 3C Taman Manjung Baru.

Jelas beliau, sumbangan itu membabitkan sejumlah RM300 ribu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan RM500 ribu sumbangan ikhlas daripada Kerajaan Negeri.

“Selama lapan tahun, murid-murid menelaah pengajian agama di rumah Haji Ibrahim Man, pengerusi SAR Nurussalam yang telah bermurah hati dan berkorban untuk menjadikan rumahnya untuk mereka menimba ilmu.

“Melihat kepada keperluan,kepadatan penduduk yang semakin meningkat di perumahan ini maka saya rasa pembinaan sekolah ini perlu dilaksanakan secepat mungkin,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Menteri Besar Perak bersama Komuniti di Taman Manjung Baru, di sini pada petang Ahad.

ADUN Pangkor itu berkata hasil lawatan lokasi tapak pada 1 April lepas beliau mendapati pembinaan sekolah agama rakyat itu boleh dijalankan segera dengan penyerahan cek tersebut.

“Sekiranya sekolah ini siap kelak, ia akan dapat menampung lebih 200 murid, apatah lagi dengan pertambahan pesat penduduk di sekitar Seri Manjung ini.

“Buat masa ini, rekabentuk sekolah telah dirangka dan saya harap proses pembinaan akan berjalan segera,” katanya.

Turut hadir, ADUN Pasir Panjang, Datuk Roshidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohammad Hanip.