Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PADANG RENGAS: Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz mencabar hartawan Malaysia Raja Gula, Robert Kuok untuk menyerahkan semula kewarganegaraan Malaysia kerana negara ini tidak memerlukan rakyat seperti beliau.

Nazri, yang juga merangkap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan  berkata tindakan Kuok selama ini telah menunjukkan beliau sebagai seorang yang tidak mengenang jasa kerajaan yang menyokong dan membantu perkembangan perniagaan beliau selama ini.

Katanya, Kuok juga dilabelkan sebagai individu yang digelar “kacang lupakan kulit” setelah menjadi individu yang membuat keuntungan tinggi.

Nazri menegaskan bahawa setiap rakyat di Malaysia masing-masing mempunyai hak untuk memberikan sumbangan kepada mana-mana parti politik yang menjadi pegagangnya namun sebagai wakil kerajaan, beliau mengakui amat tersinggung dengan niat Raja Gula membantu DAP.

“Kita tak faham. Kalau dia nak sumbang kepada DAP itu hal dia tetapi apa salahnya kalau dia sumbang juga kepada kita kerana selama ini kita yang banyak bantu dia.

“Sejak merdeka kita banyak bantu dia tapi sekarang jadi seperti beri makan kepada anjing yang gigit kita balik. Kalau dia nak lawan, kita lawan dia. Kita nak tengok berapa kekayaan dia boleh belanja.

“Jangan ingat you banyak duit you rasa bongkak, you masuk politik sendiri. Jangan jadi pengecut, penakut bagi duit kepada DAP untuk jatuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian BR1M di Pusat Kegiatan Masyarakat JKKK Kubang Panjang, di sini, pada pagi Isnin.

Nazri juga dalam pada itu, memberi cabaran kepada Kuok untuk segera pulang ke Malaysia jika taikun perniagaan itu betul-betul  berani menentang kerajaan.

“Kalau betul-betul berani, balik ke Malaysia, lawan. Kita tak takut tak hirau duit dia sebab rakyat tahu siapa dia. Saya memang marah sebab kalau dia nak beri pandangan, dia boleh beri pandangan.

“Tapi bila saya tahu isi hatinya, saya akan lawan habis-habisan. Robert, kalau you berani baliklah Malaysia. Saya memang marah. Jangan duduk luar negara jadi pengecut, penakut, pondan.

“Bagi duit kepada pembangkang untuk jatuhkan kerajaan, dia takkan menang. Rakyat Malaysia bukan saja Melayu tapi Cina pun marah pada dia,” tegasnya