AYER KEROH: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur berusia 14 tahun, tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Dol Fadir Fauzi, 24 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun 5 bulan di sebuah rumah di Kampung Tersusun, Jalan Tanjung Rambai, Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, Melaka.

Kesemua kesalahan itu dilakukan sekitar 11.30 malam hingga 12 malam, pada awal Februari sehingga akhir Jun 2017.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar bewarna merah yang tidak diwakili peguam, hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding.

Meor pada penghakimannya kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mentapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.