PASIR SALAK: Proses pembenihan awan menggunakan roket diyakini lebih menjimatkan kos dan berupaya mengawal keperluan mengikut jarak yang dikehendaki berbanding penggunaan pesawat seperti yang dilakukan sebelum ini.

Usaha yang dijalankan oleh Marine Technology Company Engineering (MTC) dengan kerjasama dari empat universiti awam antaranya Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia kini sedang giat membangunkan teknologi itu bagi mengurangkan jerebu dan kemarau.

Ir. Mohammad Juani Sujana yang bertindak sebagai Pengurus Besar MTC Engineering, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung keperluan tertentu bagi projek itu.

“Kita pun sebenarnya dah berbincang awal dengan Malaysian Meteorology Department, mereka bagi certain reqiuirement dan berkongsi pengalaman.

“Daripada senario yang itu kita mula bangunkan kan projek ini dan mereka ada beritahu kawasan tertentu yang sesuai digunakan di area empangan buat masa ini.

“Sebelum ini pembenihan awan melalui penggunaan pesawat charlie milik TUDM dan pesawat syarikat persendiran tapi penyelesaian itu kosnya lebih mahal, kita cuba pergi pada kos lebih rendah melalui roket ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengujian roket Pusat Benih Padi, Felcra Berhad, Kampung Gajah, Seberang Perak pada Selasa yang turut disaksikan Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Katanya lagi projek roket yang melibatkan lima orang pensyarah dan lima orang pelajar itu itu dianggarkan menelan kos pembangunan sebanyak RM 1 juta.

Sementara itu, menurut salah seorang pelajar yang terlibat dengan projek itu, Nurul Hafizah Azhar, Perak menjadi negeri ketika bagi proses pengujian roket tersebut selepas Selangor dan Sabah.

“Sebelum ini Malaysia tidak berapa popular sangat dengan roket sebegini, jadi kita nak banyakkan kerjasama dengan universiti untuk bangunkan industri roket pembenihan awan.

“Kos menggunakan kapal terbang sebelum ini sangat mahal, daripada kita gunakan kapal terbang lebih baik guna roket ini yang lebih murah tetapi berkesan,” katanya.

Selain pengujian roket pembenihan awan, mereka turut melakukan pengujian ke atas dua lagi jenis roket iaitu ‘training rocket’ yang sesuai untuk latihan ketenteraan serta Sains Teknologi Kejuruteraan Matematik (STEM) yang sesuai untuk program pendidikan di sekolah.