TAIPING, 25 Nov – Polis berjaya merampas lebih 10,000 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM400,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Air Kuning di sini, hari ini.

Polis turut menahan seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun dipercayai pemilik gudang itu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya melakukan serbuan kira-kira 1.30 tengah hari hasil risikan dan maklumat awam berhubung penjualan rokok seludup di sekitar kawasan Pokok Assam.

Menurutnya, pemeriksaan di gudang berkenaan menemui 202 kotak besar berisi rokok tanpa cukai, manakala 28 karton lagi dijumpai dalam sebuah van yang diletakkan di dalam gudang itu.

“Modus operandi suspek ialah menghantar rokok dipesan pelanggan dengan van yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Polis turut menemui beberapa lagi plat nombor pendaftaran kenderaan palsu dan siasatan awal mendapati van tersebut didaftarkan atas nama sebuah syarikat rekaan fesyen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.

Osman berkata, siasatan mendapati gudang milik warga emas itu disewakan kepada seorang individu dipercayai berada di Kuala Lumpur pada kadar RM2,000 sebulan.

Menurutnya, identiti penyewa sudah dikenal pasti dan polis percaya kegiatan itu dilakukan lebih daripada seorang individu.

Polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman bagi warga emas itu esok.

“Semakan menunjukkan dia mempunyai dua rekod kesalahan berkait Seksyen 324 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.