KUALA KANGSAR: Dua lelaki merompak telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai milik penuntut sebuah kolej di sini sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis BMW dalam kejadian Taman Ixora di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.45 pagi di ketika mangsa dan rakan serumah sedang bersiap untuk ke kolej.

Menurutnya, ketika kejadian, rumah sewa mangsa telah didatangi oleh dua lelaki dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun, yang masuk ke dalam rumah dan mengambil barang-barang berharga milik pengadu dan rakan serumahnya.

“Setelah mengambil semua barang tersebut mereka telah melarikan diri mengunakan kereta jenis BMW warna putih nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Razali berkata, mangsa datang ke balai polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan takut kejadian yang sama berlaku di kemudian hari.

Menurutnya, rumah pengadu jenis semi-D setingkat dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar rumah dan pintu pagar, gril serta pintu rumah tidak berkunci.

Katanya, suspek telah mengugut akan membunuh pengadu dan rakannya.

Bagaimanapun, ujarnya, menurut pengadu, suspek tidak menggunakan sebarang senjata dan tidak memakai topeng ketika masuk ke dalam rumah.

“Pengadu bersama dua orang rakan serumah dapat mengecam wajah saspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan rakannya kehilangan sebuah komputer riba dan empat unit telefom bimbit pelbagai jenis dan dompet mengandungi dokumen penting, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,300.

Razali berkata, pihak polis sedang menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.