KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor gagal hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, bagi mengikuti perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dijadualkan bermula hari ini sebaik mahkamah mula bersidang jam 2 petang.

Bagaimanapun, peguamnya, Datuk Jagjit Singh memaklumkan anak guamnya berdepan masalah kesihatan dan memohon perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram membantah sijil perakuan sakit yang diserahkan kepada mahkamah.

Tahun lalu, Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dari Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak.

Projek Kementerian Pendidikan bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus.

Beliau juga didakwa dengan 2 tuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi.

Rosmah didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.