PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan wang royalti minyak secara terus kepada negeri yang berkaitan termasuk yang dikuasai pembangkang.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bagaimanapun kadar peratus bayaran royalti minyak itu akan ditentukan dan dimaklumkan oleh Kerajaan Persekutuan nanti.

“Sebelum ini, wang berkenaan diberi kepada agensi Kerajaan Persekutuan negeri dalam bentuk Jabatan Pembangunan Persekutuan contohnya.

“Tetapi kali ini akan diberi terus kepada kerajaan negeri, tidak kira negeri itu ditadbir parti mana,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta semua menteri besar dan ketua menteri.

Isu penyaluran royalti minyak terus menjadi perhatian apabila kerajaan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kadar royalti yang akan dibayar sekurang-kurangnya lima peratus.

Ditanya jumlah kadar royalti yang diminta kerajaan Terengganu, beliau bagaimana pun enggan mengulas jumlah berkenaan.

“Yang mustahak adalah bayaran itu dibayar terus kepada kerajaan negeri, kadar jumlah itu kita boleh bincang dan runding,” katanya.

Ditanya negeri selain Terengganu yang akan menerima royalti itu, beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga akan menerimanya.

Ditanya mengenai pemberian peruntukan RM200,000 kepada Ahli Parlimen pembangkang dan RM100,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menghargai pemberian itu yang dilihat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih walaupun jumlahnya tidak sama tetapi pemberian tetap pemberian dan hargai komitmen Kerajaan Pusat untuk membantu kerajaan negeri tanpa mengira parti politik. Walaupun sedikit atau banyak kami tetap hormati,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri Terengganu akan melakukan pemberian sama terhadap ADUN pembangkang, Samsuri berkata, beliau akan melihat kedudukan kewangan negeri terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan – berita harian