Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebuah kedai pengurup wang kerugian hampir RM2 juta apabila disamun oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol tiruan dalam kejadian pada petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar 6.40 petang itu, tiga lelaki bertopi keledar dan bertopeng memasuki premis tersebut lalu mengugut lima pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan menggunakan pistol palsu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, semua pistol tiruan dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu ditemui di tepi longkang berhampiran kedai tersebut.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terus memegang pengawal keselamatan dan merampas senapang sebelum mengarahkan pekerja membuka peti besi.

“Kesemua mereka kemudiannya melarikan wang tunai ringgit Malaysia dan mata wang asing dengan menggunakan trak pikap jenis Toyota Hilux,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, siasatan menemukan dua pucuk dan kumpulan penyamun itu mereka turut melarikan senapang patah pengawal keselamatan kedai tersebut.

Chang Keong berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mendapatkan gambaran kejadian itu.