IPOH: PENIAGA kerugian kira-kira RM120,000 termasuk jongkong emas seberat 400 gram selepas rumahnya di Taman Buntong Mutiara, Ipoh dipecah masuk, semalam.

Mangsa yang berusia 36 tahun hanya menyedari rumahnya yang dijadikan tempat menyimpan barang dan sudah tidak didiami sejak dua tahun lalu, dipecah masuk kira-kira 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa ke rumahnya itu semalam dan dapati pintu utama sudah terbuka serta pelbagai barangan dibungkus dengan plastik sampah warna hitam.

“Sebaik menyedari pintu rumahnya dipecah, mangsa kemudian masuk rumah dan dapati barangan yang disimpan dalam bilik rahsia ditingkat atas sudah dialih dan diletak di bilik sembahyang ditingkat bawah.

“Pemeriksaan lanjut di setiap bilik, mangsa dapati kipas di bilik tetamu terpasang serta barang-barang miliknya dan isteri di bilik utama, dibungkus dengan beg-beg plastik hitam yang diletakkan diatas tilam dan lantai,” katanya ketika ditemui selepas Program Kempen Derma Darah Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara, Ipoh hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, mangsa kali terakhir ke rumah berkenaan pada malam Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mangsa dapati pelbagai barangan berharga miliknya iaitu satu telefon pintar Samsung, dua jam tangan Guess dan jongkong emas seberat 400 gram yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM120,000, hilang.

“Siasatan awal polis mendapati jongkong emas yang hilang dibeli mangsa untuk tujuan perniagaan dan rumah peniaga berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun pemeriksaan berjaya mengesan satu cap jari di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Ali berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek dipercayai masuk melalui pintu utama dengan ada mengumpil pintu berkenaan.