MIRI: Penghuni sebuah rumah panjang di Lambir di sini ‘kecoh’ akibat kehadiran seekor monyet liar menceroboh ke dalam sebuah bilik di rumah panjang itu dalam kejadian malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.10 malam itu, monyet betina itu dilihat bergayut di atas siling dalam keadaan agresif sehingga membimbangkan penghuni rumah.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Kapten Hazlee Shah Abd Hamid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.23 malam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, tiga anggotanya kemudiannya dikerahkan ke lokasi dan mendapati monyet liar itu masih berada di dalam bilik dalam keadaan agresif.

“Monyet berkenaan cuba mencari jalan keluar dengan melompat dari penyangkut langsir dan bergayut di apa saja yang berada di kawasan tinggi,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, monyet berkenaan berjaya ditangkap menggunakan penjerut 10 minit kemudian.

“Kedua-dua kaki dan tangan monyet itu turut diikat sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Katanya, monyet berkenaan seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah(PKOD) Miri sebelum dilepaskan semula ke dalam hutan – berita harian