SLIM RIVER – Tindakan seorang lelaki menjadikan rumah pusakanya di Felda Gunung Besout 4 sebagai port membungkus dan menghisap dadah tumpas apabila ditahan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim, Sabtu lalu.

Op Sarang yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu berjaya menahan empat orang lelaki berusia 28 hingga 31 tahun yang sedang lalok menghisap dadah selain membungkus bahan terlarang tersebut.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superitendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika serbuan yang dibuat pegawai dan anggotanya, kesemua suspek cuba bergelut untuk meloloskan diri namun tidak berjaya apabila kesemua berjaya ditahan oleh pihak polis.

Katanya, penahanan kesemua suspek tersebut adalah hasil intipan anggota dan pegawainya selama beberapa hari.

“Hasil pemeriksaan pegawai dan anggota di lokasi kejadian menjumpai sembilan peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan berat 50.96 gram.

“Pihak kami juga menjumpai lapan peket plastik berisi ketulan serta serbuk kristal yang dipercayai dadah jenis methamphetamine dianggarkan berat 8.60 gram,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Mualim, semalam.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga menjumpai alat pembungkus elektronik, penimbang digital, dua bungkus berisi plastik kecil lutsinar.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menjumpai satu plastik berisi straw kecil dipercayai digunakan sebagai alat membungkus dadah, alat penghisap dadah, pemetik api dan wang tunai berjumlah RM1,020 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut turut dijumpai satu peket plastik yang dipercayai berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan berat 0.33 gram dalam poket sebelah kanan seluar jeans yang dipakai oleh suspek.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat suspek mendapati mereka positif dadah jenis meth.

“Dadah yang kita rampas ini dianggarkan RM2,000 yang diperolehi di kawasan Gombak dan dipercayai untuk menampung permintaan di sekitar Sungkai.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Sabtu lalu hingga 21 April bagi bantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – sinar