PORT DICKSON: “Luluh hati saya sebaik melihat keadaan rumah yang sedang terbakar tetapi saya reda jika itu sudah takdir,” kata Nor Aishah Mat Nor, 54.

Rumah milik Nor Aishah di Kampung Kuala Sawah, Chuah di sini, terbakar jam 9.15 pagi tadi, ketika dia keluar ke rumah saudara, tidak jauh dari situ.

Katanya, sebaik dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran itu, dia bergegas pulang kerana suaminya, Mohd Kamal Supardi, 57, dua anak berusia 16 dan 20 serta tiga cucu lelaki berusia tiga hingga enam tahun sedang tidur.

“Tetapi sebaik sampai di rumah, saya bersyukur kerana mereka semua sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Nor Aishah berkata, walaupun semua persiapan menyambut Aidilfitri termasuk baju raya hangus, baginya nyawa lebih penting.

Sementara itu suaminya Mohd Kamal berkata, dia terdengar jeritan anak lelakinya, Hasanudin, 20, dan segera bangun untuk melihat keadaan.

“Ketika itu api mulai marak di bahagian depan ruang tamu manakala asap tebal memenuhi ruang rumah. Keadaan kelam-kabut dan kami hanya memikirkan keselamatan ahli keluarga sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda lain,” katanya.

Katanya, rumah separuh papan didiaminya itu adalah peninggalan ibu bapanya, dan baru diubah suai setahun lalu dengan kos sebanyak RM40,000.

“Punca kebakaran mungkin akibat litar pintas namun saya masih menunggu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya yang menganggarkan jumlah kerugian sebanyak RM260,000.

Sementara itu, Ketua Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Raziff Mohd Hariss, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.11 pagi dan bergegas ke lokasi bersama 10 anggota bersama sebuah jentera.

Katanya, sebaik tiba pada jam 9.35 pagi, api sedang marak membakar sebuah rumah separuh kekal dan dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian.

“Rumah itu 85 peratus terbakar manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya – berita harian