IPOH: Sambutan Perayaan Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Perak akan diadakan di Kampung Kacang Putih, Buntong pada 11 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan A.Sivanesan berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dijangka berangkat menghadiri sambutan itu.

Menurut beliau, Kampung Kacang Puteh dipilih sebagai lokasi sambutan bersesuaian dengan sejarahnya, di samping masyarakat India yang ramai tinggal di Buntong.

“Rumah Terbuka Deepavali ini akan bermula pada jam 5 petang dengan dihadiri oleh Sultan Perak dan Raja Permaisuri, turut sama Menteri Besar dan barisan Exco negeri, orang ramai boleh hadir untuk memeriahkan sambutan ini nanti,” katanya kepada pemberita dalam lawatan ke Kampung Kacang Puteh, Buntong di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Sivanesan memberitahu, malam kebudayaan sempena Deepavali akan bermula pada 26 Oktober ini hingga 4 November.

Pembukaan gerai jualan sempena perayaan itu turut berlangsung pada 20 Oktober hingga 4 November di Little India, Ipoh bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya kaum India membeli barang keperluan Deepavali.