Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seekor rusa liar seberat 80 kilogram mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kenderaan di susur keluar Tambun, Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada malam Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahaya Madis ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 10.21 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Yahya bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti kenderaan yang melanggar rusa itu kerana tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.


“Tiba di tempat kejadian, rusa itu berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu bergerak selepas dipercayai patah kaki hadapan kanan selain cedera di bahagian kepala dan badan.
“Anggota bertindak memberinya minuman sebelum membawa haiwan liar itu ke BBP Ipoh dalam usaha menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi pada petang Jumaat.
Jelasnya, pihaknya bimbang sekiranya rusa yang dilindungi itu ditemui pihak tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dibawa ke balai.

“Anggota kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Perhilitan Negeri, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, rusa liar jenis Sambar jantan berusia dua tahun itu dipercayai tersesat sehingga masuk ke kawasan bandar.

“Selepas dihubungi pihak bomba, saya bergegas ke BBP Ipoh untuk melihat sendiri haiwan tersebut sebelum bersama anggota bomba menghantarnya ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai bagi merawatnya.
“Doktor pakar yang merawatnya memberitahu ia kini berada dalam keadaan stabil,” ujarnya ketika dihubungi.
Menurutnya, Perhilitan menolak kemungkinan haiwan itu mungkin dibela berdasarkan pemerhatian pihaknya.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini sedang dijalankan kerana ia merupakan hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

“Dari pihak kami, jami amat berterima kasih kepada orang awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana bertindak pantas menyelamatkan nyawa seekor haiwan liar yang dilindungi dan ia mungkin meninggal sekiranya tidak diselamatkan dalam kadar segera,” katanya.