SEHINGGA jam 8 pagi tadi, 83 orang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, dekat USJ 25, Subang Jaya, minggu lalu.

Jumlah itu meningkat seramai 15 orang berbanding 68 orang, pada 8 pagi semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), dekat Cheras, Kuala Lumpur, pagi hari ini.

“Suspek yang ditahan meningkat kepada 83. Ini sehingga jam 8 pagi tadi.

“Kalau ada (perkembangan), kita akan maklum lagi selepas jam 8 pagi esok supaya tidak bercanggah,” katanya sejurus menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Kolej UNIKOP, milik Koperasi PDRM, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada penahanan 15 suspek yang terbaharu itu adalah individu yang diminta tampil semalam, Mohamad Fuzi enggan mendedahkan perkara itu.

“Semua mereka terbabit dengan insiden di kuil (Maha Mariamman). Tindakan buru suspek berterusan,” katanya.

PDRM semalam mengeluarkan kenyataan sedang mengesan 28 saksi bagi membantu siasatan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dengan memohon kerjasama mereka yang terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan.

Insiden rusuhan yang bermula pada Isnin lalu itu menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Dalam kejadian awal pagi Selasa di hadapan kuil berkenaan, seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ke lokasi untuk memadam kebakaran kereta, parah akibat dipukul sekumpulan perusuh – hmetro