PARIT BUNTAR 5 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pembentangan RUU itu akan mengambil masa kerana ia perlu mendapat ulasan daripada Peguam Negara, mempunyai draf dan melalui proses rundingan awam sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, beliau juga telah berjumpa dengan Menteri dan Timbalan Menteri diJabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) bagi membolehkan akta itu diletakkan di bawah mereka.

“Ini satu cetusan idea untuk kita memastikan isu keharmonian diberikan perhatian khusus dan bukan menumpang dalam akta-akta lain. Draf bagi idea ini sudah pun siap sejak dulu iaitu semasa saya bertindak sebagai pengerusi dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

“Jadi apabila timbul persoalan mengenai usaha kerajaan terhadap pihak yang menghina agama Islam dan agama lain, maka yang terbaik untuk tangani isu ini ialah dengan adanya aktakeharmonian ini.

“Bagaimanapun, ingin saya jelaskan akta ini masih di peringkat awalan, saya andaikan ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Trip Silaturrahim Memikat Merbuk dan Tekukur di Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE