IPOH, 23 DIS: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan senarai portfolio baharu Exco kerajaan negeri yang menyaksikan perubahan besar, termasuk dua exco daripada Pas.

Beliau sendiri memegang portfolio Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Syarikat Bukan Kerajaan (GLC).

Saarani menjelaskan, ia bukanlah rombakan portfolio, sebaliknya, adalah kabinet baharu yang dibentuk selepas beliau menjadi Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 10 Disember lalu,

“Ini bukan rombakan portfolio, ini adalah kabinet baru, jadi tidak timbul masalah menukar ataupun merombak, ini kabinet baru dengan Menteri Besar baru dan ada seorang Exco baru.

“Jadi sebagai Menteri Besar yang baru, saya menubuhkan pasukan baharu, dan jangan orang salah faham seolah-olah ada berlaku rombakan, tiada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan insentif penyupayaan pemerkasaan persatuan dan persediaan kontinjen para SUKMA negeri Perak.

Menurut Saarani, dengan kekuatan, kepakaran dan kebolehan pada semua setiap Exco, beliau yakin kesemua mereka akan memberi komitmen yang tinggi bagi merealisasikan harapan rakyat supaya dapat memberi tumpuan kepada membela nasib rakyat.

“Semalam pun saya dapat mengadap ke bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan tuanku pun bertitah dengan kelulusan Bajet 2021 yang telah kita selesaikan pada hari Jumaat lepas, bermakna sekarang adalah masa untuk bekerja.

“Dengan menggunakan peruntukan yang terhad itu tetapi dengan tujuan yang baik supaya dengan wang yang ada kita dapat memanfaatkannya bagi setiap portfolio bagi kita sampaikan peruntukan itu sampai ke akar umbi,” ujarnya.

Pada 10 Disember lalu, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 selepas Ahmad Faizal gagal mendapat undi majoriti ketika usul percaya terhadap Menteri Besar ketika persidangan Dewan Negeri Perak, 4 Disember lalu.

Ia diikuti oleh pelantikan lima orang Exco pada hari yang sama dan diikuti lima lagi pada 15 Disember lalu, sekaligus menyaksikan kesemua sembilan exco lama dikekalkan dengan tambahan muka baharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Selain Zainol Fadzi mewakil Bersatu, sembilan muka lama yang dikekalkan ialah Razman Zakaria dan Mohd Akmal Kamarudin daripada Pas, Datuk Nolee Ashilin Mohamed dan Datuk Abdul Yunus Jamahri dari Bersatu, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Khairul Shahril Mohamed dan Ahmad Saidi Mohamad Daud dari UMNO.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manap Hashim dilantik sebagai Penasihat Khas Menteri Besar bertaraf Exco manakala ADUN Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar.

Senarai penuh portfolio Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri Perak:

  1. Datuk Saarani Mohamad
    (Menteri Besar)
    Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi Dan GLC.
  2. Datuk Zainol Fadzi Paharudin
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi.
  3. Razman Zakaria
    Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan.
  4. Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi
    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Dan Pelancongan.
  5. Datuk Shahrul Zaman Yahya
    Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor.
  6. Datuk Abdul Yunus Jamahri
    Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Masyarakat Sivil.
  7. Mohd Akmal Kamarudin
    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau.
  8. Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Dan Ngo.
  9. Datuk Mohd Zolkafly Harun
    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air Dan Pengangkutan Awam.
  10. Khairul Shahril Mohamed
    Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Komunikasi Dan Multimedia.
  11. Ahmad Saidi Mohamad Daud
    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia.