IPOH: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memperkenalkan tanaman Sacha Inchi sebagai usaha menambah pendapatan kira-kira 530,000 pekebun kecil di seluruh negara.

2068d261-33f7-458a-91e0-348c929f6641

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sebagai permulaan, RM300,000 peruntukan disediakan bagi membeli benih daripada Thailand untuk diedarkan kepada peneroka di negeri-negeri utara semenanjung dalam masa terdekat.

Menurut beliau, setiap peneroka akan diberikan 10 pokok yang akan ditanam di sekitar rumah mereka.

fb5a1e0a-26ba-45e7-ad8c-b269af835349   0732e0f7-d5c3-4981-a29c-19d1606cc119

“Dalam masa lapan bulan mereka akan mendapat hasil dan pokok ini jangka hayatnya 20 tahun, sekaligus boleh membantu mengurangkan kos sara hidup isu rumah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Peringkat RISDA Negeri Perak di sini pada Rabu.

Sacha Inci adalah sejenis tanaman yang berasal daripada Peru, Amerika Selatan yang dikatakan baik untuk kesihatan kerana ia boleh menghasilkan Omega 3, 6 dan 9.

Tanaman itu juga dikatakan telah berjaya dihasilkan di Thailand sejak diusahakan kira-kira lima tahun lalu.

Zahidi tidak menolak kemungkinan RISDA akan menghasilkan sendiri pil dan minyak daripada tanaman tersebut.

Bagaimanapun, beliau merayu kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu usaha itu di samping penglibatan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dari segi kawalan penyakit.

Di samping Sacha Inchi, kata beliau, RISDA juga merancang untuk memperkenalkan tanaman Guarana sebagai satu lagi langkah untuk menambah pendapat pekebun kecil bagi mencapai sasaran pendapatan RM4,000 sebulan menjelang tahun 2020.

“Banyak lagi program yang dirancang, termasuk pengenalan GAP bagi menambah produktiviti hasil pekebun kecil di seluruh negara,” tambah beliau.

Di majlis itu, Zahidi turut menyampaikan hadiah-hadiah tahun 2016 untuk kebun terbaik getah, sawit, kampung pengembangan, depo belian getak terbaik dan program `groom big’.