PETALING JAYA – Pemain sensasi Harimau Malaya, Safawi Rasid mengakui sangat teruja apabila namanya disenaraikan dalam skuad utama Portimonense menentang kelab gergasi Portugal, Porto dalam saingan liga pada awal pagi esok.

Kata Safawi, keputusan itu telah diberikan oleh barisan kejurulatihan kepadanya tetapi sama ada diturunkan atau tidak bergantung kepada ketua jurulatih, Paulo Sergio.

“Alhamdulillah dah tersenarai untuk ke Porto. Main atau tidak itu keputusan jurulatih.

“Sudah tentu saya terharu, perasaan amat gembira dapat menyertai pasukan utama menentang Porto. Insya-Allah saya akan bagi yang terbaik jika diturunkan.

“Dalam latihan saya sentiasa berikan yang terbaik, alhamdulillah akhirnya diberi kepercayaan. Doakanlah yang terbaik untuk perlawanan menentang Porto,” kata pemain berusia 23 tahun kelahiran Terengganu itu. – K! ONLINE