KUALA LUMPUR: Bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid menjelaskan dia akan menyertai pasukan utama Portimonense SC, hari ini.

Difahamkan, Safawi tidak bersama skuad bawah 23 (B-23) semalam apabila ada pemain pasukan itu yang positif COVID-19.

“Skuad bawah 23 tahun ada (positif COVID-19), tapi tak tahu pemain itu ok ke tidak.

“Perlawanan semalam saya tak sertai, sebab ketua jurulatih pasukan utama tak bagi sertai, takut berjangkit. Esok saya akan mula latihan untuk pasukan utama,” katanya.

Safawi atau lebih dikenali sebagai Pawi berkemungkinan mendapat peluang untuk tampil buat kali pertama dalam Liga Primeira pada pertemuan dengan Santa Clara, Ahad ini.

Sebelum ini, Safawi membuat penampilan bersama skuad B-23 Portimonense ketika pasukan itu tewas 3-1 di tangan Sporting CP.

Biarpun pasukannya tewas, namun media Portugal dilaporkan memuji persembahan Safawi termasuk ketika sesi latihan.

Pemain muda Harimau Malaya berusia 23 tahun itu menyertai Portimonense secara pinjaman daripada juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim.

Kelmarin, penantian rakyat Malaysia untuk melihat penampilan sulung Luqman di Jupiler Pro League terlaksana apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika kelabnya KV Kortrijk menentang RSC Anderlecht.