IPOH: Penganjuran program All Malaysian-Golden Gate Narion Revival Convocation yang kini tular di media sosial, disifatkan menghina negara dan agama Islam serta cubaan mengganggu gugat keharmonian masyarakat di Malaysia.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Mohd Adri Adha Mohamad mendesak pihak berkuasa agar menjalankan siasatan dengan segera.

Katanya, beliau mewakili Parlimen Belia Malaysia membantah sekeras-kerasnya program itu yang menghina umat Islam, mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Malaysia ialah sebuah negara yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel malah penganjuran program itu boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas mengakui Islam sebagai agama Persekutuan, namun pada masa yang sama, ia memberikan hak kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai.

“Mana-mana pihak yang mengadakan program seumpama ini boleh dianggap menghina negara dan agama Islam kerana ia dianjurkan sempena kemenangan Yahudi di Palestin dan kejayaan Israel Zionis menjajah Palestin 50 tahun lalu,” kata Mohd Adri menerusi satu kenyataan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas penularan poster sambutan Jurusalem Jubilee yang berlangsung dari 15 hingga 18 Jun 2017 di Calvary Live Assembly Chinese (CLAC) di Melaka.

“Saya juga percaya sambutan ini ada kaitan dengan gerakan evangelisme, selain menjemput tokoh dari luar negara bagi menghasut penganut agama lain untuk mendokong gerakan Zionisme,” Katanya.

Mohd. Adri Adha menambah, beliau percaya tiada seorang pun umat Islam di negara ini yang rela dan reda sambutan Jerusalem Jubilee diadakan di negara Islam ini.

“Kenapa pihak tersebut memilih menyambut ulang tahun ke-50 kemenangan tentera Israel menggodam bumi Palestin pada bulan Ramadan dan di Melaka pula?

“Ini merupakan satu program yang cuba mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia,” katanya.