BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan pengundi di seluruh negara kepada calon-calon Barisan Nasional amat luat biasa berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke 12 dan PRU13.

Katanya, situasi meyakinkan itu dilihat oleh beliau dengan mata kepalanya sendiri di dalam kesempatan melawat beberapa negeri dan Parlimen di seluruh negara sebelum ini.

Justeru, calon Parlimen Bagan Datuk itu begitu berharap agar sokongan tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk undi menjelang 9 Mei kelak ketika hari pengundian berlaku di seluruh negara.

Ahmad Zahid, juga mengulas mengenai sambutan menggalakkkan dan cukup meyakinkan yang diterima oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatannya di Sabah di sebalik tularnya sokongan pembangkang di negeri di bawah bayu tersebut.

“Walaupun, dalam media sosial memperlihatkan seolah-olah ada semacam gelombang besar dan seolah-olah kemenangan memihak kepada mereka (pembangkang), tetapi realiti “silent majority” atau majoriti senyap ini bersama dengan Barisan Nasional.

“Virality, atau tular dalam media sosial ini adalah kerana program-program perhimpunan yang dilakukan di kawasan bandar, sedangkan kita tahu bahawa 70 peratus daripada kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen adalah di kawasan luar bandar.

“Sambutan rakyat kepada calon-calon BN pula meningkat dengan luar biasa berbanding PRU12 dan PRU13,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Back2School:Pelestarian Kebun yang dihadiri oleh murid-murid daripada 68 buah sekolah sekitar Bagan Datuk di SK Sungai Nipah, di sini, hari ini.

Jelasnya, BN berasa amat gembira berdasarkan situasi poisitif yang diterima daripada rakyat dan ianya turut merisaukan pihak lawan sehingga mereka sanggup menggunakan helah taktik SLMA (surpirse last minute attack) atau serangan di saat akhir.

Katanya, tumpuan utama atau centre of gravity untuk serangan itu diberikan kepada Perdana Menteri selaku ketua BN.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian BN yakin bahawa sambutan rakyat di kawasan pendalaman untuk etnik dan sub-etnik di Sabah dan Sarawak adalah amat baik dan begitu juga di Perlis dan Johor.

“Kita lihat bahawa ada gelombang untuk memberikan sokongan yang besar kepada calon-calon BN, dan kita lihat di Pantai Timur akan ada perubahan, dan perubahan positif ini dapat dirasakan,”katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru kepada rakyat Malaysia khususnya pengundi agar tidak mudah mempercayai berita palsu dan tidak benar apatah lagi kempen-kempen perang saraf yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang hilang punca.

“Saya harap, apabila penolakan kepada mereka ini telah dilakukan, kita harus istiqamah dan yakin bahawa pegangan kita untuk memberikan dokongan kepada BN harus diteruskan, sehingga tamat hari pengundian pada jam 5 petang, pada 9 haribulan nanti,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAAN : Tiada Pengiraan Undi Awal Di Bagan Datuk