KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan Aidiladha dan pelaksanaan ibadah korban dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa agama Islam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aktiviti perarakan keagamaan, kenduri dan rumah terbuka yang membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan pematuhan SOP, tidak dibenarkan.

“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas pelaksanaan PKPP di sini, hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, semua aktiviti keagamaan dan keraian yang membabitkan jumlah kehadiran ramai tidak dibenarkan bagi membendung penularan COVID-19.

Kerajaan bagaimanapun memberi kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak 4 Mei lalu apabila semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri bermula 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dihadkan kepada jawatankuasa masjid atau surau.

Malah, kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri, Pesta Keaamatan dan Hari Gawai dihadkan kepada hari pertama perayaan.

SOP mengenai ziarah itu turut mengehadkan aktiviti saling berkunjung hanya membabitkan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.