SUNGAI PETANI: Suami isteri yang terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, Selasa lalu, direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, Nurul Rasyidah Mohd Akit dan kedua-dua suspek diwakili peguam, Shanmugam Ganesan.

Terdahulu suspek yang kudung kaki kanan, berusia berusia 21 tahun dan berasal dari Nibong Tebal, tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi berpakaian lokap sebelum isterinya berusia 30-an tiba pada jam 10 pagi.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata.

NSTP semalam melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Selain itu, polis juga sudah mengenal pasti suspek kedua yang terbabit dalam kejadian samun itu dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek terbabit dikenali sebagai Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu masih berada di kawasan Sungai Petani dan polis akan mengesan sebelum menahannya jika dia enggan menyerah diri.

“Kita juga percaya barangan samun itu berada bersamanya dan dia diminta tampil menyerah diri sebelum pihak polis sendiri memburu dan menahannya dalam tempoh terdekat,” katanya – berita harian