PARIT: Keadaan tebing sungai yang agak dalam serta timbunan bongkah batu tajam merupakan antara cabaran utama yang menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Perak yang dipercayai hanyut pada petang Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Sayani Saidun berkata setelah 24 jam berlalu pihak Bomba masih lagi tidak dapat mengesan mayat mangsa.

 
Menurutnya selain itu pihaknya juga berhadapan dengan faktor air keruh dan aliran menghilir yang menghadkan aktiviti mencari berikutan hujan lebat sebelum ini.

Katanya, buat masa ini pihaknya menerima bantuan seramai 60 pegawai dan kakitangan daripada Bomba, PDRM, Rela, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan orang kampung.

“Sebenarnya, kawasan mangsa jatuh dan hilang dipercayai lemas itu adalah kawasan yang baru sahaja dikorek,kerana tempat ini adalah kawasan terhakis.

“Justeru, ianya dalam proses membaikpulih kawasan ini dan di sinilah mangsa ini terjatuh.

“Apa yang merisaukan kami ialah keadaan dimana mangsa tersangkut di celah-celah batu kerana bongkah batu agak besar dan tajam,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Sayani, pihaknya telah meluaskan kawasan radius pencarian sebanyak lima kilometer dan menjalankan pemeriksaan berkala selama dua jam.

“Pihak Bomba Perak juga telah menggunakan khidmat dua anjing pengesan unit K-9 ke kawasan hotspot dan kami akan menumpukan lokasi itu sepanjang operasi ini.

“Kami berharap akan dapat menemui mangsa dalam tempoh masa terdekat,”katanya lagi.

Sayani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.33 tengahari (Ahad) dan sehingga kini operasi SAR menggunakan dua bot Bomba, sebuah unit bot dari Rela, dua buah bot orang kampung.