IPOH – Kerajaan negeri menyarankan komuniti setempat mewujudkan sebuah pusat aktiviti kanak-kanak bagi menggalakkan perkembangan sosial bagi golongan di bawah usia 12 tahun itu.

Exco Kerajaan Perak, Wong May Ing berkata, setakat ini, tiada pusat sedemikian dibina yang mana ia dapat membentuk modal insan berkualiti dan pembangunan kognitif yang cemerlang.

Menurutnya, kerajaan sedia membantu dengan menyediakan tapak atau geran bagi merealisasikan perlaksanaan pusat itu.

“Inisiatif ini memerlukan sokongan aktif dari sukarelawan untuk menjayakannya. Fungsi pusat berkenaan adalah sama seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) cuma ia melibatkan kanak-kanak sahaja.

“Pusat itu boleh jadi tumpuan mereka selepas waktu persekolahan untuk mengerat perpaduan selain membentuk gaya hidup sihat dengan menghindarkan gejala negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kelab Dr Little dan graduasi kepada 180 doktor cilik di Hospital Pantai Ipoh di sini, hari ini.

Seramai 180 doktor cilik menyertai Kelab Dr Little yang memberi pendedahan awal aspek kesihatan dan pemakanan seimbang.
Beliau turut menyambut baik usaha Hospital Pantai Ipoh (HPI) yang memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun dari aspek gaya hidup dan pemakanan sihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HPI, Chong Siet Fong berkata, objektif kelab berkenaan adalah memberi pengenalan awal berhubung pemakanan, penjagaan diri serta profesion perubatan.

“Kita menitikberatkan aspek pemakanan apabila statistik menunjukkan ramai kanak-kanak obes kerana tabiat dan pemakanan yang tidak seimbang.

“Kita beri pelbagai informasi seperti cara pembersihan tangan yang betul, imbasan bakteria pada tangan serta fungsi organ dalam tubuh manusia. Selain itu, ia dapat mengurangkan rasa takut mereka ketika berhadapan dengan doktor kelak,” katanya.

Katanya, PHI menerima sokongan yang menggalakkan daripada ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka menyertai kelab itu.

“Walaupun mempunyai senarai menunggu, kita akan meneruskan program ‘dentist a day’ pula dalam tempoh terdekat untuk kanak-kanak lain,” katanya – sinar