BOTA: Setiap Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Perak sewajarnya mencipta produk tersendiri dalam meningkatkan tahap keupayaan pelatih.

Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, pihaknya sentiasa mahu setiap PDK sekurang-kurangnya menghasilkan produk yang dapat memberikan pulangan kepada mereka.

Menurut beliau BAIDURI sentiasa menyokong mana-mana PDK untuk mencabar kebolehan pelatih masing selain menyerlahkan bakat mereka dalam apa jua bidang.

pdk2

“Kami yakin para penyelia dan petugas di PDK masing-masing mampu mencipta kejutan menerusi kelainan ciptaan produk mereka, ” katanya

Beliau ditemui semasa merasmikan Program Ikatan Ukhwah PDK Daerah Perak Tengah di PDK Bota bersempena Permukiman Menteri Besar pada Khamis.

pdk3

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim serta Pengerusi PDK Perak Tengah.

Saripah berkata, kunjungan ke PDK Perak Tengah kali ini memberikan satu dimensi baharu dengan hasil yang menakjubkan.

PDK Perak Tengah merangkumi tiga buah PDK iaitu PDK Bota, PDK Kampung Gajah dan PDK Parit.

“Mana-mana PDK yang menujukkan kemahuan dan usaha, BAIDURI tidak akan ragu-ragu beri bantuan yang berkaitan selain sumbangan yang bersesuaian, “jelasnya.

Selain menyampaikan sumbangan kepada PDK Perak Tengah, Saripah bersama penyelaras BAIDURI turut meninjau produk pelatih seperti pembuatan kek cawan, seramik dan bedak sejuk.