KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan terpaksa menggunakan wang belanja perkahwinannya untuk membayar ikat jamin sebanyak RM16,000 selepas dia didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,000 pada April lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Ibrahim Sabdi @ Azman, 27, yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia sejak empat tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM4,000 daripada Mohd. Khairul Azwani Mohamed Nor, 34.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd. Radzi Abd. Ghani, 40, yang ditangkap mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun kira-kira pukul 1 tengah hari di Bahagian Narkotik IPD Pasir Puteh pada 7 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, Ibrahim didakwa sekali lagi menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada Khairul Azwani sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd. Radzi di lokasi sama kira-kira pukul 8 malam pada 8 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Ibrahim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainuddin.

Noor Hamizah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, Mohamed Yazzer memohon jumlah ikat jamin yang rendah ekoran anak guamnya bakal melangsungkan perkahwinan Disember ini dengan seorang anggota polis wanita yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

“Anak guam saya akan menggunakan wang hantaran dan belanja urusan perkahwinannya untuk membayar ikat jamin. Wang jaminan itu akan dibayar oleh ibu saudaranya dan saya mohon ikat jamin yang rendah sebagai jaminan untuk anak guam saya hadir ke mahkamah.

“Selain itu, Ibrahim juga akan hadir ke mahkamah untuk sesi perbicaraan kerana dia masih lagi bertugas sebagai anggota polis,” katanya.

Zaman menetapkan ikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di SPRM Kota Bharu setiap awal bulan.

Kes disebut semula pada 29 November depan.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – K! ONLINE