BAGAN DATUK: Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (SARJANA), Kampung Gajah muncul sebagai sekolah terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) peringkat negeri Perak bagi tahun 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, secara keseluruhannya, pencapaian aan STAM 2016 di Perak menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 mata kepada 3.22 peratus, berbanding 3.24 peratus tahun 2015.

Menurut beliau, bilangan yang memperolehi pangkat Mumtaz (cemerlang) tahun lalu seramai 26 orang atau 4.92 peratus, berbanding 17 orang atau 3.56 peratus tahun sebelumnya.

“Bilangan yang memperolehi pangkat Jayyid Jiddan (amat baik) bagi tahun 2016 pula ialah seramai 92 orang atau 17.42 peratus,” katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2016 peringkat negeri Perak di Sekolah Menengah Agama Irsyidiah, Batu 26 Bagan Datuk pada khamis.

IMG-20170119-WA0002

Hadir sama pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Hussin.

Drs Nizar menambah bilangan yang memperolehi pangkat Jayyid (baik) tahun lalu seramai 169 orang (32.01%) dan pangkat Maqbul (lulus) 36 orang (6.82%).

Beliau turut mengumumkan Wan Nur Hasywini Waeyusoh dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Tarbiah Islamiah Batu 8 Terong sebagai pelajar terbaik STAM 2016.

Dua orang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Irsyidiah iaitu Mohd Akmal Sohar dan Wan Ahmad Arman Wan Zaidi pula diumumkan sebagai pelajar cemerlang dengan memperolehi pangkat Mumtaz.