Oleh: Aida Aziz

ADEGAN empat sekawan yang memotong kulit sarung kerusi bas untuk dijadikan seluar ketat dalam filem Rock arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid begitu sinonim dengan kisah hidup Mohd Noor Said, 53.

Filem yang ditayangkan pada tahun 2005 itu sedikit sebanyak menggambarkan bagaimana Mohd Noor atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Gondrong ketika dia mula menceburi bidang pembuatan barangan kulit.

Ketika ditemui Suara Perak di rumahnya di Jelapang Maju, baru-baru ini, beliau berkata, istilah gondrong dalam dialek Jawa bermaksud panjang, sesuai dengan penampilannya yang sejak dahulu berambut panjang.

Kisah bas di Medan Kidd

Mengimbau zaman kegemilangan rock pada tahun 80-an, Mohd. Noor berkata, dia dan rakan-rakannya pernah melakukan perkara sama yang dilakukan oleh Jijoe dan kumpulan rocknya.

Yang membezakannya ialah dia dan rakan-rakannya menjahit kulitsarung kerusi bas itu menjadi kasut, ujarnya.

“Apabila saya menonton filem itu, memang sama dengan apa yang kami pernah buat dahulu. Rasa kelakar pula bila teringat kisah nakal kami itu. “Bagi budak-budak yang susah pada ketika itu, kami tidak mampu hendak membeli barangan kulit, jadi kami mencari alternatif dengan mengambil sarung kerusi bas yang tersadai di Medan Kidd,” katanya.

Menurut Mohd. Noor, kebanyakan bas awam yang diparkir di Medan Kidd sudah rosak atau tidak boleh digunakan lagi, itulah bezanya cara mereka “bertindak” dengan babak daripada filem Rock.

“Balik rumah kami potong dan tampal kulit pada seluar; apa yang Mamat Khalid sampaikan dalam filem Rock, memang begitulah realitinya ketika itu. Dan dari situlah, saya jatuh cinta dengan barangan kulit dan mula belajar menjahit,” katanya.

Permintaan semasa Covid-19

Mohd. Noor berkata, permintaan pelanggan terhadap barangan kulit yang dijahitnya tidak terjejas semasa wabak Covid-19 melanda.

Katanya, banyak tempahan diterima daripada pelanggan tetap yang selesa dengan hasil kerjanya sebelum ini.

“Terus terang saya saya katakan barangan kulit ini lebih diminati oleh orang lelaki, mungkin disebabkan mereka lebih menyukai barang yang rare dan tahan lama.

“Orang yang minat barang kulit juga perlu ada pengetahuan tentang jenis-jenis kulit, dan tahu bagaimana untuk menjaga produk tersebut,”katanya.

Perbezaan ketahanan kulit

Ditanya mengenai jenis dan perbezaan kulit, Mohd Noor menjelaskan, terdapat tiga jenis kulit yang sering diguna pakai iaitu lembu, kambing dan kerbau.

Katanya, setiap satu daripadanya mempunyai kelebihan dankekurangan sendiri, bergantung kepada jenis produk yang dihasilkan.

“Kulit lembu lebih dari segi ketahanan dan harga yang murah. Ia cantik untuk dihasilkan sebagai produk manakala kulit kambing pula lembut dan cantik tetapi ketahanannya kurang.

“Kulit kerbau memang kuat dan sesuai untuk menghasilkan produk yang tahan lama seperti beg galas dan tali pinggang, tetapi ia tidak begitu cantik seperti kulit lembu dan kambing,” katanya.

Jenis barangan kulit

Mohd. Noor menjelaskan, tidak ramai yang menceburi bidang membuat barangan kulit secara custom made yang dijahit tangan kerana ia rumit dan penerimaannya belum meluas.

Ujarnya, antara barangan yang kerap mendapat tempahan ialah tali jam tangan, dompet, sarung golok, beg sandang dan sarung pemetik api.

Beliau biasanya mendapatkan stok kulit dari Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Katanya lagi, masih ramai yang sukar membezakan antara kulit sebenar dan tiruan malah sering menjadi mangsa penipuan pihak yang mahu mengaut keuntungan.

“Kulit asli agak kusam berbanding sintetik yang lebih nampak menarik dan berkilat. Bila kita sentuh pada bahagian dalam kulit asli, teksturnya agak berserat berbanding dengan kulit sintetik.

“Bagaimanapun, setelah agak lama digunakan, produk kulit asli yang kusam itu akan nampak berkilat,” katanya.

Buka bengkel di Manjoi

Menjadi harapan bapa kepada tiga orang anak ini untuk melihat lebih ramai anak muda mempelajari teknik menghasilkan barangan kulit.

Dia dan rakan kongsinya sedang berusaha untuk membuka sebuah bengkel di Manjoi, Ipoh untuk dijadikan pusat yang mampu menggalakkan golongan muda belajar tentang produk tersebut