LUMUT: Semua pihak perlu berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan industri dengan menetapkan sasaran kemalangan sifar di tempat kerja masing-masing

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan komitmen dan sokongan padu daripada pihak majikan dan pekerja.

Menurut beliau, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), jumlah kemalangan industri menunjukkan trend menurun iaitu daripada 35,898 pada tahun 2013 kepada 35,294 (2014) dan 34,258 (2015).

Beliau turut meminta majikan supaya mencari jalan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku ketika perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja yang meningkat daripada 27,659 kes pada tahun 2013 kepada 28,037 (2014) dan 28,579 (2015).

“Pekerja berhadapan dengan cabaran dan risiko baru akibat perubahan drastik di tempat kerja yang dibawa oleh cabaran globalisasi, persaingan sengit dan kemajuan teknologi,” katanya ketika merasmikan Pejabat NIOSH di Bandar Seri Manjung di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, kata beliay majikan, pekerja dan pihak penguatkuasaan perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan risiko baru yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Sebagai contoh, beliau berkata, mereka perlu menangani ancaman serius seperti kes kebocoran gas klorin di sebuah kilang Menglembu pada bulan September dan risiko kecedaraan serius dan kematian apabila bekerja di sektor perlombongan, kuari dan pembalakan.

“Masalah ini boleh menjadi punca kepada peningkatan kemalangan di tempat kerja serta faktor utama terjadinya penyakit berkaitan pekerjaan,” ujarnya sambil menambah, masalah itu boleh diatasi dengan efektif melalui latihan yang mencukupi serta amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang baik.

Namun, kata Lam Thye, masalah ekonomi global boleh menjejaskan aspek KKP apabila majikan menghadkan peruntukan latihan manakala pekerja pula mengalami tekanan kerana bimbang kehilangan pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau ,menjelaskan, Bandar Seri Manjung dipilih sebagai lokasi pejabat baru NIOSH kerana kedudukannya yang strategik serta kewujudan jaringan jalan raya yang menghubungkannya dengan daerah-daerah lain di negeri Perak.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Pelabuhan Lumut juga terletak di dalam Daerah Manjung dan ia juga turut dihubungkan dengan Pelabuhan Kelang melalui sistem jalan raya yang baik.

Menurut Lam Thye, pertumbuhan di kawasan Pantai Barat Perak akan melonjak apabila projek infrastruktur mega, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat sepanjang 233 kilometer dari Banting ke Taiping siap pada tahun 2019.

Pada masa ini, beliau berkata, Manjung merupakan daerah paling berkembang pesat dari segi pembangunan dan memerlukan latihan menyeluruh dalam bidang KKP.