IPOH: Sekurang-kurangnya 172 persatuan belia baharu akan diwujudkan di negeri ini selari dengan pendekatan untuk mengiktiraf dan membangunkan golongan belia, ujar Khairul Shahril Mohamed.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata sasaran itu meliputi 10 persatuan belia baharu di setiap daerah dengan kriteria yang ditetapkan.

“Persatuan yang baru ditubuhkan dan ingin menjalankan gerak kerja mereka akan diberikan sedikit dana, untuk mereka bergerak awal khususnya dalam konteks untuk menjalankan mesyuarat penaja dan mesyuarat agung.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 100,000 untuk tujuan tersebut (penubuhan persatuan belia baharu), kita harap 172 persatuan itu akan dapat dilaksana.

“Antara syaratnya 50 peratus daripada ahli persatuan ini hendaklah berumur bawah 30 tahun dalam menyediakan mereka menyambut Akta Belia yang mendefinisikan belia sebagai mereka yang berumur bawah 30 tahun menjelang tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di sini, pada Rabu.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffuddin.

Dalam perkembangan lain, Khairul Shahril berkata pihaknya juga dalam langkah terakhir untuk menggerakan program baharu dinamakan “Warung Riders”.

Jelasnya, program itu khusus untuk memberi peluang pekerjaan bagi peringkat permulaan kepada kira-kira 480 orang belia dari seluruh daerah di Perak.

“Saya akan peruntukkan 20 orang untuk diberi peluang menjadi “Warung Riders”, ia merupakan konsep baharu.

Bukan sekadar penghantar makanan tetapi juga untuk pelbagai urusan yang akhirnya menjadi sumber pendapatan mereka.

“Peluang ini untuk 20 orang setiap Parlimen, ada 24 Parlimen maka 480 orang ini akan kita upayakan sebagai “Warung Riders”, bukan terhad kepada lelaki sahaja kerana perempuan pun boleh mohon bergantung kepada kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perak kepada 12 orang penerima, selain dua anugerah melibatkan kategori pertubuhan belia.

Antara penerima anugerah ialah Norfarrah Syahirah Shaari bagi kategori Anugerah Wira Belia Covid-19 (Unsung Hero) Negeri Perak, Mohd Amzari Zamri yang merangkul Anugerah Khas Belia Negeri Perak (keusahawanan) dan TS Mohd Faqrul Redza Tahiruddin bagi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perak.

Penerima anugerah membawa pulang trofi, plak penghargaan dan wang tunai mengikut kategori masing-masing.