IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri Perak memutuskan untuk menutup satu lagi sekolah di negeri ini iaitu SK Lekir Batu 8, Sitiawan susulan terdapat kes positif Covid-19.

Ia menjadikan jumlah sekolah yang ditutup akibat kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak tujuh berbanding enam sekolah sebelumnya di daerah Larut Matang dan Selama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata tujuh buah sekolah itu ialah; SMK King Edward VII, Taiping, SMK (P) Treacher Methodist, Taiping, SMK Bukit Jana, Kamunting, SK Taman Jana, Kamunting, SK Convent Kota, Taiping,SK Ulu Mengkuang, Selama dan SK Lekir Batu 8, Sitiawan.

“Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri memutuskan mana-mana sekolah yang mempunyai kes postif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh 7 hari tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penutupan sekolah dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Razman berkata, pihak sekolah juga disarankan untuk untuk melaksanakan sanitasi di premis masing-masing dan mengamalkan SOP ketat kepada semua pelawat, ibu bapa, murid, pelajar serta guru.

Khususnya mereka yang berada ataupun pulang dari kawasan yang berisiko bagi mengelakkan penyebaran wabak berkenaan.

“Diharapkan semua sekolah yang telah diarahkan ditutup ini mematuhi arahan Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan ibu bapa tidak cemas serta panik dalam situasi terbaru ini.

“Di samping memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi memutuskan rantaian covid-19 ini,”katanya.