TAPAH: Kira-kira satu tan ikan segar disumbangkan kepada 450 keluarga kakitangan Penjara Tapah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 23 Oktober lalu.

Sumbangan ikan kembung dan selar itu dihulurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tapah, petang Khamis.

Hadir sama dalam majlis penyerahan itu ialah Pegawai Daerah Batang Padang, Shahrul Affendi Baharudin dan Ketua Pemuda UMNO Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi.

Samsudin berkata, setiap keluarga menerima sumbangan kira-kira dua kilogram ikan.

“Semoga dengan sumbangan ini akan dapat meringankan kesulitan yang dihadapi keluarga kakitangan Penjara Tapah yang telah diisytiharkan kawasan PKPD sehingga 4 November hadapan,” katanya kepada Suara Perak.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya juga ada menghantar bantuan kotak makanan kepada keluarga berkenaan.

“Insya Allah, kita juga akan terus membantu di masa-masa akan datang kerana sangat kita prihatin dengan apa yang mereka lalui sekarang.

“Kita juga berdoa agar kita semua dijauhkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini dan sentiasa dalam perlindungan Allah,” ujarnya.