IPOH: Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak akan memastikan agenda Melayu dipertahankan dan tidak sama sekali diketepikan.

Katanya beliau akan sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan kebajikan dan pembangunan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di negeri ini dan pada sama memastikan kepentingan masyarakat daripada kaum lain sentiasa dititikberatkan sejak awal lagi.

“Walaupun pakaian saya mungkin berbeza warna, walaupun logo parti saya daripada ketajaman dua batang keris berubah kepada kecantikan sekuntum bunga, tetapi saya bersama para pemimpin yang lain tidak akan sekali-kali mengkhianati perjuangan orang Melayu.

“Saya bukan seseorang yang mahu mengejar kuasa sehingga mengenepikan perjuangan orang Melayu,” katanya dalam ucapan merasmikan Majlis Jalinan Kasih dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri NGO-NGO Melayu Negeri Perak yang diadakan di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Perak, Ipoh.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Penasihat Kepada Menteri Besar Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

“Kalau semua yang kenal ‘Peja’ yang pernah berniaga burger di Pekan Razaki, mandi di Sungai Kepayang, dan berjalan merata di Ipoh, saya masih Peja yang sama”, katanya.

Selain itu beliau turut menyeru kepada masyarakat umum untuk menegur dirinya sekiranya terdapat sebarang kepincangan ketika melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar yang baharu dan muda.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Melayu Perak Kahar Md Yassin berkata program anjuran Permuafakatan Melayu Perak (PPMP) itu bertujuan untuk merapatkan ukhwah dan silaturrahim di kalangan NGO Melayu di negeri ini.

“Ia juga menunjukkan sokongan dan dokongan kami kepada kerajaan yang baru dibentuk di bawah kepimpinan YAB Ahmad Faizal,” ujar beliau di dalam ucapan aluan.

Kahar turut menyampaikan deklarasi sumpah taat setia dari pertubuhan kepada kepimpinan Ahmad Faizal.

Beliau kemudiannya menyerahkan cenderamata sebagai simbolik kepada silaturrahim antara NGO Melayu dengan kerajaan hari ini.

Lebih 1,000 tetamu hadir pada majlis tersebut termasuk wakil daripada lebih 50 NGO dari seluruh negeri Perak, ketua-ketua jabatan serta ketua dari syarikat berkaitan kerajaan.

Antara NGO yang hadir ialah Permas Perak Hulu Perak, Persatuan Ibu Tunggal Perak dan Pekida Perak.

1/8